Sunday, May 21, 2006

Kalau bukan Guru Tulin..


Bakal calon guru tidak tahu siapa Menteri Pelajaran
Oleh: ROZILAN SALLEH
PULAU PINANG 21 Mei - Ada pemohon yang mahu mengikuti kursus di institusi perguruan tidak mengenali barisan Kabinet termasuk Menteri Pelajaran walaupun memperoleh keputusan cemerlang 5A1 pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kelemahan pengetahuan am lepasan sekolah itu dikesan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar apabila calon institusi perguruan menemuinya untuk mendapatkan surat sokongan, baru-baru ini.
``Sebelum saya keluarkan surat sokongan, saya beritahu mahu temu duga dulu. Saya bertanya siapakah Menteri Pelajaran sekarang tetapi dia tidak dapat memberikan jawapan,'' katanya.
Beliau menceritakan mengenai kelemahan pengetahuan am lepasan sekolah itu ketika berucap pada sambutan Hari Guru peringkat daerah Pulau Pinang di sini hari ini.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Noh memberitahu, beliau tidak dapat mengeluarkan surat sokongan kepada calon itu.
Sehubungan itu, beliau tidak mahu ada bakal guru yang mempunyai kelemahan dalam pengetahuan am termasuk perkara asas walaupun cemerlang dalam peperiksaan peringkat sekolah.
``Guru bukan sahaja pandai dalam pengajaran tetapi juga dalam pengetahuan menyemai nilai-nilai murni kepada pelajar,'' jelasnya.
Beliau juga tidak mahu masalah keengganan guru yang telah menamatkan kursus di institusi perguruan, ditempatkan di kawasan pedalaman, berulang lagi.
Katanya, walaupun Kementerian Pelajaran ada menerima rayuan guru yang menghadapi masalah itu atas faktor kemanusiaan, namun alasan itu tidak harus digunakan semata-mata kerana enggan bertugas di luar bandar.
Mengenai program pemulihan di kem dan pusat kokurikulum terhadap murid sekolah yang dibuang sementara menunggu rayuan atau digantung sekolah akibat disiplin, beliau berkata, ia akan bermula bulan ini.
Sehingga kini beberapa murid sekolah yang bermasalah telah mengikuti program itu termasuk enam di Kedah, tiga di Melaka dan seorang di Wilayah Persekutuan.

Sumber : Utusan Online

0 Comments:

Post a Comment

<< Home