Sunday, May 21, 2006

Kalau bukan Guru Tulin..


Bakal calon guru tidak tahu siapa Menteri Pelajaran
Oleh: ROZILAN SALLEH
PULAU PINANG 21 Mei - Ada pemohon yang mahu mengikuti kursus di institusi perguruan tidak mengenali barisan Kabinet termasuk Menteri Pelajaran walaupun memperoleh keputusan cemerlang 5A1 pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kelemahan pengetahuan am lepasan sekolah itu dikesan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar apabila calon institusi perguruan menemuinya untuk mendapatkan surat sokongan, baru-baru ini.
``Sebelum saya keluarkan surat sokongan, saya beritahu mahu temu duga dulu. Saya bertanya siapakah Menteri Pelajaran sekarang tetapi dia tidak dapat memberikan jawapan,'' katanya.
Beliau menceritakan mengenai kelemahan pengetahuan am lepasan sekolah itu ketika berucap pada sambutan Hari Guru peringkat daerah Pulau Pinang di sini hari ini.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Noh memberitahu, beliau tidak dapat mengeluarkan surat sokongan kepada calon itu.
Sehubungan itu, beliau tidak mahu ada bakal guru yang mempunyai kelemahan dalam pengetahuan am termasuk perkara asas walaupun cemerlang dalam peperiksaan peringkat sekolah.
``Guru bukan sahaja pandai dalam pengajaran tetapi juga dalam pengetahuan menyemai nilai-nilai murni kepada pelajar,'' jelasnya.
Beliau juga tidak mahu masalah keengganan guru yang telah menamatkan kursus di institusi perguruan, ditempatkan di kawasan pedalaman, berulang lagi.
Katanya, walaupun Kementerian Pelajaran ada menerima rayuan guru yang menghadapi masalah itu atas faktor kemanusiaan, namun alasan itu tidak harus digunakan semata-mata kerana enggan bertugas di luar bandar.
Mengenai program pemulihan di kem dan pusat kokurikulum terhadap murid sekolah yang dibuang sementara menunggu rayuan atau digantung sekolah akibat disiplin, beliau berkata, ia akan bermula bulan ini.
Sehingga kini beberapa murid sekolah yang bermasalah telah mengikuti program itu termasuk enam di Kedah, tiga di Melaka dan seorang di Wilayah Persekutuan.

Sumber : Utusan Online

Tuesday, May 16, 2006

Kerjaya Guru No. 2


KUALA LUMPUR 16 Mei -
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu profesion perguruan terus diberi keutamaan sejajar dengan sumbangannya dalam pembangunan negara dan bukan sekadar dijadikan pilihan kedua dalam kerjaya.
Perdana Menteri berkata, tanggapan perguruan sebagai kerjaya kelas dua adalah tidak tepat dan perlu diubah kerana ia merupakan satu tugas yang mulia.
``Yang pentingnya walau apa pun saya masih nak katakan profesion perguruan mestilah dijadikan pilihan utama,'' katanya.
Bercakap pada sidang akhbar di majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2006 di sini hari ini, Abdullah berkata, jika profesion itu tidak diutamakan, maka kualiti pendidikan akan menjadi rendah.
Sambutan bertemakan Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu menghimpunkan lebih 3,000 guru dari seluruh negara.
Abdullah berkata, apa yang dibimbangkan ialah apabila kerjaya itu tidak dijadikan pilihan.
``Kalau ia (guru) tidak menjadi pilihan utama, maka mereka yang terlibat dengan kerja perguruan mungkin tidak bersungguh-sungguh untuk bekerja sebagai guru.
``Masa mengajar masih mencari kerja lain melalui iklan-iklan di akhbar. Maka dengan itu mutu pengajaran tidak menjadi tinggi,'' kata Perdana Menteri.
Beliau juga melahirkan kekagumannya terhadap sekolah pintar atau smart school yang mengutamakan komputer sebagai alat pengajaran dan pembelajaran.
Abdullah percaya pelajar di sekolah pintar akan berminat dengan komputer dan akan memudahkan lagi proses menimba ilmu pengetahuan.
Tambahnya, penggunaan komputer mampu meningkatkan minat pelajar terhadap pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
``Saya nampak (pelajar guna komputer) begitu baik sekali kerana mereka begitu bersungguh dan gembira guna komputer.
``Saya percaya mereka akan jadi pelajar yang akan berminat dengan komputer dan dengan itu mereka akan mudah belajar.
``Saya ingat lagi masa saya tanya Amalina (Nur Amalina Che Bakri) yang dapat keputusan cemerlang dan terbaik (Pelajar Terbaik SPM 2004), dia memang guna komputer sebagai satu alat bantu belajar dan menelaah, buat kerja rumah, sebab itu dia mampu menjadi cemerlang,'' jelas beliau.
Mengenai dakwaan Kementerian Pelajaran mengutamakan pelajar Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) untuk diserap sebagai guru, Abdullah menegaskan perkara itu tidak benar sama sekali.
``Saya dah diberitahu (mengenai isu itu), tak boleh buat kesimpulan begitu. Hishammuddin (Menteri Pelajaran) akan jawab. Kementerian (Pelajaran) jika ada cadangan, tiada masalah untuk kita (Kabinet) bagi kelulusan,'' katanya.
Bagaimanapun menyentuh isu pengangguran di kalangan guru maktab dan siswazah, beliau secara ringkas berkata:
``Yang penting tenaga mereka itu jangan tidak digunakan, mereka perlu beri sumbangan.''.

Sumber : Utusan Online